Segala puji bagi Allah yang memiliki segala perbendaharaan langit dan bumi, serta bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Baru - baru ini aku berkesempatan untuk merasai kemeriahan sambutan Program Kita Rewang Sekampung Negeri Selangor Tahun 2022 di peringkat Daerah Kuala Langat. Haa jangan tak tahu, program seumpama ini diwujudkan bagi memupuk tradisi dan budaya rewang memandangkan amalan ini semakin hari semakin dilupakan terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran program ini sebenarnya telah dijalankan di sembilan (9) daerah di Selangor yang bermula pada bulan Julai di daerah Sabak Bernam dan berakhir pada bulan November di daerah Kuala Langat. Sejajar dengan penganjuran program ini, inilah masanya untuk menghidupkan kembali amalan yang diamalkan oleh orang zaman dahulu yang sememangnya terkenal dengan semangat muafakat dan kerjasama yang cukup kuat, dan apa salahnya sekiranya golongan lama memperkenalkan kembali amalan ini.
Konsep rewang ini sebenarnya merupakan tradisi bergotong-royong bagi membantu keluarga yang mengadakan majlis perkahwinan atau majlis kesyukuran dalam komuniti setempat selain dapat mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat setempat. Oleh yang sedemikian, negeri Selangor mengambil inisiatif yang sangat baik dengan menganjurkan program seumpama ini bagi menghidupkan kembali amalan tradisi di kalangan masyarakat ini yang semakin dilupakan.
Rindu dengan suasana rewang
Malahan aktiviti rewang ini bukan sahaja dapt mengeratkan hubungan sesama penduduk malahan juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan ketika mengadakan majlis keraian yang membabitkan ramai jemputan. Kalau dulu-dulu, di majlis perkahwinan memang aku selalu nampak amalan rewang ini masih diamalkan tapi sekarang aktiviti rewang ini semakin dilupakan di atas faktor tuntutan gaya hidup masa kini dan kebanyakkannya lebih selesa untuk membuat tempahan secara katering yang akhirnya amalan ini semakin dilupakan.
Aktiviti sepanjang program
Sambil-sambil aku melihat suasana orang melakukan aktiviti rewang, satu aktiviti pembersihan Pantai Batu Laut juga telah diadakan dengan kerjasama MPKK Daerah Kuala Langat dan Kelab Pecinta Alam Sekitar oleh Sekolah Kebangsaan Batu Laut. Semua sampah dikutip dan dikumpulkan bagi proses pembersihan pantai dengan harapan mampu meningkatkan kelestrian pantai dan menyumbang kepada keseimbangan ekosistem kawasan sekitarnya. Selain itu, ahli Kelab Pecinta Alam Sekitar juga diberi peluang untuk meneka jumlah berat hasil kutipan sampah dan menerima baucer berupa wang tunai.
Sebenarnya, perpustakaan bergerak ini memang menggamit memori juga. Teringatla juga dulu-dulu masa bersekolah rendah, aku memang sentiasa menunggu bila la perpustakaan bergerak ni nak datang. Kalau dah datang tu, aku adalah di antara orang yang kena 'halau' balik. Tapi, aku akan pastikan aku akan meminjam buku - buku yang tebal supaya lambat sedikit nak habis baca sementara nak tunggu rutin perpustakaan bergerak ni kembali ke sekolah.
Selain itu, terdapat juga khemah Perbadanan Adat Melayu dan Waris Negeri Selangor yang menyediakan permainan tradisional seperti permainan dam haji. Memang aku tengok, semua pemain tekun dan fokus untuk menyusun strategi bagi mengalahkan pihak lawan masing-masing.
Bagi perkhidmatan terus penduduk setempat, terdapat juga khemah - khemah yang menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Perbadanan Wakaf Selangor.
Sebelum Solat Jumaat, kami disajikan dengan makanan lauk - pauk tengah hari masakan kampung yang sangat sedap dan terasa seperti makan di rumah. Antara yang menarik perhatian adalah sup gearbox yang memang mengiurkan, masakan tidak semua masakan ini dimasak dengan penuh kasih sayang dan air tangan orang yang bersama-sama melakukan rewang ini. Tapi bagi aku ialah, masakan masak lemak cili padi perut memang win kali ni. Si Along Murni siap bertambah dengan membawa semangkuk extra lauk masak lemak cili padi perut ni.
Seusai makan tengah hari, kami semua bergerak menuju ke Bandar Morib untuk berehat seketika (solat Jumaat bagi kaum lelaki) di Hotel Suite Dream yang ditaja penuh oleh pihak Gaya Travel. (terima kasih Gaya Travel!!!)
Majlis Marhaban dan Berendoi
Pada sebelah petang, satu majlis Marhaban dan Berendoi bagi peserta Aqiqah telah diadakan di Dewan Terbuka, Dataran Pantai Batu Laut. Majlis dimulakan dengan bacaan marhaban dengan berzanji dan berselawat beramai - ramai. Umumnya, adat berendoi ni menggunakan buaian yang dihias cantik sambil didendangkan dengan marhaban dan berzanji yang merupakan adat Melayu yang sudah lama dipraktikkan. Anak - anak cilik didukung oleh ibu/bapa masing-masing dan mengelilingi ahli-ahli marhaban sebanyak tiga (3) kali.
Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Tuan Borhan Bin Aman Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan.
Kalau korang nak tahu, majlis berendoi ini juga merupakan persembahan seni suara yang berunsurkan keagamaan, nasihat, teguran, dan peringatan kepada anak-anak dan ibu bapa. Ada pesanan kepada ibu bapa agar dapat menjaga dan membesarkan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang dan memberikan didikan agama dan dunia sewajarnya. Tidak lupa juga pesanan kepada anak-anak agar dapat membalas jasa dan menghargai segala pengorbanan kedua ibu bapa.
Semasa masjlis ini berlangsung, aku juga berkesempatan meraikan bersama-sama dengan ahli marhaban dengan 'berebut' mengutip gula-gula dan duit syiling. Mujur duit syiling RM1 dah tak ada, kalau tak; memang makcik kaya kutip duit syiling. Hihi..
Dataran Tanjong
Seusai majlis Marhaban dan Berendoi, aku berkesempatan untuk berjalan-jalan sebentar ke Dataran Tanjong. Mengikut pemahaman yang aku baca, Dataran Tanjong ni cukup popular di kalangan masyarakat di Tanjung Sepat. Daya tarikan di sini ialah Lovers Bridge yang mana sebelum ini jambatan ini telah rosak pada tahun 2013 dan pengubahsuaian telah dilakukan pada tahun lepas. Selain OOTD di sini, suasana yang tenteram dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan aku berasa sangat tenang. Jadi, kalau korang rasa nak lari sekejap dari kesibukan bandar, korang bolehlah datang ke sini dan boleh mencuba menu mee goreng di medan selera di sini.
Majlis Perasmian
Pada sebelah malam, satu Majlis Perasmian Program Kita Rewang Sekampung Negeri Selangor Tahun 2022 peringkat Daerah Kuala Langat telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Borhan bin Aman Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan.
Ketibaan semua jemputan ini diringi dengan penuh adat Melayu oleh Kumpulan KDT Studio Telok Panglima Garang dan disambut dengan paluan kompang dan pencak silat. Sebelum ucapan kata alu-aluan oleh pengacara majlis, satu persembahan pembukaan majlis diserikan dengan tarian Joget Selangor oleh Kumpulan KDT Studio Telok Panglima Garang. Masa ni aku baru tahu macam mana rupanya joget negeri Selangor sebab aku cuma biasa dengan tarian zapin (Johor) dan tarian lilin (Negeri Sembilan) sahaja.
Selepas bacaan doa, kami menikmati jamuan makan malam dengan diringi persembahan oleh artis-artis Biduan Malam ini Negeri Selangor. Semasa menikmati makan malam, artis Shafie dari kumpulan RIO mendendangkan lagu seperti Layu Di Hujung Mekar yang memang betul - betul kenangan lama mengusik jiwa (KLMJ).
Kemuncak acara perasmian ini ialah gimik perasmian Program Kita Rewang Sekampung Daerah Kuala Langat dan disusuli dengan pemberian cenderahati. Sebelum acara melabuhkan tirai, kami semua didendangkan dengan persembahan nanyian artis seperti Shafie Rio, Uji Rashid dan Herman Tino.
xo
2 comments
mengimbau lah rewang ni. sekarang banyak udah katering je.
ReplyDeletekan..makin lama makin dilupakan
Delete