Segala puji bagi Allah yang memiliki segala perbendaharaan langit dan bumi, serta bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Eco Edu Panbil Nature Reserve yang menjadi tarikan baharu dijangka dapat meningkatkan lagi kunjungan orang ramai ke Batam sekaligus memacu sektor pelancongan. Menariknya, Eco Edu Panbil Nature Reserve yang terletak di Jl. Ahmad Yani, Muka Kuning, Batam ini tampil dengan tarikan yang unik di mana tempat ini menggabungkan taman pendidikan dan taman rekreasi dalam satu tempat. Panbil Nature Reserve ini merupakan kawasan hutan seluas 207 hektar yang mempunyai kekayaan flora dan fauna yang terpelihara dan telah dibuka pada 3 Disember 2021.
Menariknya, Panbil Nature Reserve merupakan pusat penternakan Rusa Sambar atau Rusa Unicolor. Uniknya, rusa sambar ini merupakan haiwan yang sukar ditemui walaupun di tempat ia berkeliaran. Hanya rusa jantan mempunyai tanduk yang biasanya ada tiga (3) cabang pada kedua-dua belah dan boleh mencapai panjang satu (1) meter.
Selain itu, Panbil Nature Reserve ini sangat sesuai untuk dikunjungi oleh pelbagai lapisan umur kerana tempat ini menyediakan aktiviti seperti bermain, bermesra dan memberi makan haiwan-haiwan jinak secara dekat. Antaranya pelbagai spesis seperti arnab, ikan koi, burung macau, burung nuri, burung kawasari, burung merak, ular sawa albino, iguana, rakun, tikus belanda serta haiwan-haiwan eksotik seperti labah-labah tarantula dan juga kala jengking. Paling digemari bagi pengunjung cilik pastinya arnab/kelinci dan tikus belanda yang comel dengan keletahnya tersendiri.
Setelah penat berinteraksi dengan haiwan, para pengunjung bolehlah mengunjungi The Atrium untuk melepaskan lelah dan mengalas perut. Di sini juga menyediakan hidangan daripada Restoran KFC, serta masakan berasaskan negara Korea, gerai ais krim serta kedai kopi. Selain itu, di sebelah The Atrium juga terdapat sebuah supermarket yang menyediakan pelbagai jenis jualan bagi para pengunjung di sini.
Sementara itu, waktu operasi Panbil Nature Reserve bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam sementara waktu berinteraksi dengan haiwan-haiwan adalah sehingga jam 6 petang. Kemasukan buat masa ini adalah percuma. Kini, pengunjung tidak perlu pergi jauh untuk menikmati hari minggu dan dapat meluangkan masa bersama keluarga tanpa perlu berbelanja lebih dan pastinya berbaloi untuk menikmati pengalaman yang berbeza.
1 comments
wahhh baru tau batam ada nature park camni. menarik ni
ReplyDelete