Keindahan yang tersembunyi di Pulau Benan Kabupaten Lingga - Kepulauan Riau
By kin - November 11, 2019
Kepulauan
Riau mempunyai banyak pulau-pulau yang indah yang wajib dikunjungi. Antara yang
wajib dikunjungi adalah Pulau Benan iaitu sebuah pulau sepanjang empat (4)
kilometer ini mempunyai keindahannya yang tersendiri iaitu terletak di
Kabupaten Lingga yang tidak jauh dari Kota Tanjungpinang (hanya 1.5 jam dengan
menaiki feri). Pulau Benan memiliki keindahan pantai yang menakjubkan dengan
air lautnya yang biru kehijauan, begitu jernih dengan hamparan pasir yang
lembut bak sutera. Keindahan pulau ini juga tidak kurang indahnya jika dinikmati
pada waktu pagi dengan langit yang berwarna kuning keemasan.
Perjalanan
kami setelah menginjakkan kaki di pelabuhan disambut dengan baju menggelembung
diterpa hembusan angin laut yang begitu mengujakan kami, dengan pemandangan air
jernih kehijauan. Tidak lama kemudian, kumpulan kami disambut mesra oleh Pak
Edi Sutrisno selaku event organizer Wonderful Sail To Lingga. Biarpun kami terlewat sehari, namun
kedatangan kami ke Pulau Benan begitu mengujakan kami.
Seusai
makan tengah hari, kami dibawa menuju ke penginapan kami di kotej. Melewati sebahagian
rumah di kawasan ini dengan senyum manis mereka menjadikan kami yang datang ke
pulau ini berasa diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat di sini. Sepanjang
perjalanan menuju ke kotej, persekitarannya yang sangat kemas dan mendamaikan, pantainya
begitu bersih dengan pokok kelapa yang rapi berjajar di pinggir pantai. Penduduk
di pulau ini hanya menggunakan motosikal atau basikal/speda sebagai pengangkutan
darat yang utama selain feri sebagai penghubung di antara kepulauan yang lain.
Pada sebelah petang, acara bagi peserta ‘Wonderful Sail to Indonesia’ diadakan dengan pertandingan kayak bersama penduduk setempat dalam kategori wanita, lelaki dan campuran. Pertandingan ini mendapat sorakan gemuruh dari para penonton yang menonton di sepanjang tepian jeti. Sementara itu, pemandangan sepanjang di jeti pulau ini juga dihiasi dengan layang-layang pelbagai bentuk dan warna yang menarik minat terutamanya bagi kanak-kanak di pulau ini.
Berakhirnya
pertandingan berkayak tersebut dan sementara menunggu program pada sebelah
malamnya, kami mengambil kesempatan untuk menyelusuri tepian pantai nan bersih
dengan tebaran batu-batu karang yang menghiasi pantai.
Pada sebelah
malam, kami dihidangkan dengan makanan tempatan yang istimewa serta enak selain
pelbagai juadah kuih-muih tradisional dengan diiringi kugiran muzik dari
penduduk tempatan. Kesemua hidangan
makanan yang enak ini telah dimasak secara bergotong-royong oleh kaum
wanita penduduk setempat. Acara dimulakan
dengan penyampaian hadiah kepada peserta cilik yang telah memenangi dalam acara pertandingan
gasing dan menarik upih. Acara kemuncak
pada malam ini diserikan dengan persembahan tarian Joget Dangkong Jerambang,
iaitu tarian khas oleh Kumpulan Sanggar Langgam Selatan yang berasal daripada
Dabo dengan diiringi muzik Melayu. Sebelum majlis melabuhkan tirai, kami juga
berpeluang untuk menyumbangkan suara dalam nyanyian secara berkaraoke.
Bagi Kepala
Dinas Pariwisata Pemuda dan Olahraga Kabupaten Lingga, Pak Raja Fahrurrazi
adalah menjadi satu harapan yang sangat luar biasa untuk menyambut kedatangan
para pelancong untuk berkunjung ke Lingga terutamanya di Pulau Benan yang penuh
dengan keistimewaannya tersendiri. Pulau Benan merupakan pulau yang terbersih
di Kepulauan Riau dan pernah dinobatkan pada
tahun 2018. Jadi tidak hairanlah jika sepanjang kami di sini, kami disajikan
dengan pemandangan yang sangat mendamaikan dengan kebersihan yang sangat tinggi
nilainya beserta pula dengan keramahan para penduduk tempatan.
Setinggi-tinggi ucapan syabas dan
terima kasih kepada Pak Raja Fahrurrazi, Kepala Dinas Pariwisata, Kepemudaan dan Olahraga Kabupaten Lingga dan Pak Edi Sutrisno beserta tim event organizer dalam menjayakan dan penajaan famtrip Wonderful
Sail to Lingga 2019 dengan penuh kewibawaan dan komitmen yang tinggi. Kalian memang
luar biasa!
Nota : terima kasih kepada Pak Bams Sanca Nektar di atas sumbangan gambar.
0 comments